Showing posts with label Recipes. Show all posts
Showing posts with label Recipes. Show all posts

Monday, 10 December 2012

Durian layered cake

Kali ni saya buat durian layered cake atas permintaan Muhammad Farhi. Hehe...anakanda la tu. Durian pun banyak dalam freezer tu. Hari tu, hubby beli durian sampai 5 biji. Katanya durian musang king. Dah banyak camtu, saya simpan je dalam freezer. Boleh tahan lama. Dalam kepala ni dah plan macam2 nak buat dengan durian tu. So, jadilah durian cake ni. Specialnya cake ni sebab ianya bukan diperasakan dengan durian. Tapi, saya layerkan ia dengan isi durian yang fresh. Memang creamy dan sedap. Sekali makan tu, boleh tutup mata..nikmatnya. Hehe...cubalah tau. Rujuk resepinya disini.

baru letak dalam oven
deco atas
kacang tu tumbuk sendiri..hehe..

sedap sgt..


Wednesday, 5 December 2012

Strawberry Muffin

Petang-petang sedap juga dapat makan yang segar2...putu piring ke, ubi kayu rebus ke, buah berangan rebus ke...huhu..tak menahan. Teringat masa saya kecil2 dulu, mak selalu rebus buah berangan untuk minum petang. Memang sedap, lembut je. Mak gunakan pressure cooker, kejap je rebus.

So, petang ni, saya terfikir nak buat muffin. Senang dan bahan2 pun dah ada di dapur. Anakanda pun suka makan. Strawberry filling lebihan buat crepe hari tu ada banyak lagi. So, apa lagi, jadilah resepi belasah saya ni...main guna cawan je sukatannya..ikut logik sukatan air dan tepungnya. Kira experiment la ni...hehe. Ni yang hubby selalu bising ni..suka sangat buat experiment. Kalau jadi, takpe...kalau tak jadi, tu yang membazir. Tapi, kali ni memang jadi..mabeles!

Bahan-bahan:
1/2 cup minyak jagung
3/4 cup castor sugar
1 1/2 cup self raising flour (sifted)
4 biji telur (gred m)
2 tbp susu tepung
1 tsp esen vanilla
1/4 tsp salt

Strawberry filling

Cara-caranya:
  1. Pukul telur dan gula sampai kembang. Masukkan esen vanilla, minyak, susu tepung & garam.
  2. Pukul lagi hingga sebati. Then, stop beating dan masukkan tepung sikit2. Kacau cara 'kaup balik' menggunakan spatula kayu. Kacau perlahan2 sampai sebati.
  3. Masukkan dalam paper cup 3/4 je..jangan banyak2...nanti melimpah lak. Then, letakkan strawberry filling atasnya menggunakan piping bag.
  4. Bakar dalam oven pada suhu 180c selama 35 minit atau sehingga masak.
**Jangan lupa, panaskan oven dulu, sebelum sediakan batter.
**Bila2, kalau nak tambah kekacang ke, chocolate chip ke...mesti sedap.
**Minyak jagung tu, boleh juga gunakan butter yang dicairkan.

Monday, 3 December 2012

Bubur nasi Muhammad

Mama : Muhammad, pagi ni kita nak makan apa?
Muhammad : Nasi ayam lah..
Mama : Aik, pagi2 makan nasi ayam?...nantilah tengahari mama masak nasi ayam. Pagi ni kita makan nasi bubur tau.
Muhammad : .... <angguk jer>

So, pagi ni saya masak bubur nasi favourite Muhammad, anakanda sorang tu. Saya masak ikut bahan apa yang ada dirumah. Lagipun, ikan bilis & kacang goreng nasi lemak semalam ada lagi. Sedap jugak dimakan bersama bubur nasi ni. Memang sedap, anakanda sampai menambah2. 


Muhammad panggil nasi bubur..

Bahan-bahan:
1 1/2 pot beras
isi dan tulang ayam (ikut suka)
1/2 batang carrot (potong dadu)
4 ulas bawang putih (diketuk2)
1 1/2 inci halia (dihiris panjang)
1 1/2 kiub chicken stock

1 helai daun pandan
garam & gula secukup rasa

daun bawang, ikan bilis & kacang goreng, telur goreng.

Cara-cara:
  1. Rebus nasi dengan air yang banyak dalam 3 liter bersama2 daun pandan. Masukkan juga ayam kita tadi. Rebus dengan api yang sangat perlahan.
  2. Masukkan halia, bawang putih dan secubit garam. Rebus sampai ayam dan nasi lembut..ada naik minyak ayam. Masukkan carrot dan rebus lagi sampai sampai carrot lembut.
  3. Perasakan dengan chicken stock, garam dan gula. 
  4. Siap untuk dihidangkan bersama daun sup/bawang, ikan bilis & kacang goreng, juga telur dadar. 
  5. Kalau ada minyak bijan, boleh masukkan sekali satu sudu. Aroma minyak bijan memang wangi dan sedap.
Seronok masak bila anak makan. Anak saya, sejak cuti sekolah ni dah pandai request nak makan apa. Sekali kita masak tu, dia memang betul2 makan. Alhamdulillah, dia pandai makan pedas, pandai makan sayur. So, apa yang kita makan, dia boleh makan. 

ni Muhammad dah menambah kali ke 3..huhu

Thursday, 15 November 2012

Nasi Goreng Udang

nasi goreng udang
ni dia perencahnya..
ni anakanda tidur kekenyangan..tengok tv pun x habis..

Resepi nasi goreng udang ni sangat senang disediakan. Orang bujang pun boleh masak. Saya hanya gunakan perencah, tanpa bawang. Tapi, saya jarang masak nasi goreng udang ni sebab hubby tak berapa suka yang segera2 ni. Dia suka nasi goreng yang ditumis dengan bawang dan asli tanpa sebarang perencah. Ok, jom semak resepi.

Bahan-bahan:
4 cawan nasi
12 ekor udang - ikut selera
1 packet perencah nasi goreng cina Adabi
2 biji telur
Cili merah/ cili api (dihiris) - kalau campurkan pun sedap
Daun sup (dihiris)
Garam

Cara-caranya:
  1. Lerai2kan nasi kita..jangan ada yang berketul2. Pastu, ketepikan.
  2. Dalam kuali, panaskan minyak dan goreng telur dulu...hancur2kan. Angkat dan letakkan di atas nasi kita tadi. Ketepikan dulu.
  3. Dalam kuali yang sama, panaskan minyak sikit dan goreng pula udang kita dengan sedikit garam sampai keluar air udangnya. Angkat dan letakkan atas nasi kita tadi. Ketepikan dulu.
  4. Dalam kuali yang sama, panaskan minyak sikit dan goreng cili pula sampai garing sikit. Pastu, masukkan nasi kita tadi bersama2 dengan telur dan udang yang telah kita sekalikan tadi.
  5. Teruskan menggoreng...gaul sebati. Pastu, masukkan perencah nasi goreng cina kita dan gaul sebati. Last sekali, masukkan daun sup kita dan gaul sebati dan terus tutup api. Siap untuk dihidangkan.
~nasi tu, saya agak2 je sukatannya sebab masa masak tadi tak sukat pun.
~Kalau gunakan cili merah dan cili api lagi sedap...warna nasi goreng kita pun cantik..naik seri.

Tuesday, 13 November 2012

Resepi Carrot Cake Sedap

carrot cake...fresh from oven..
simple..carrot cake with cream cheese frosting

carrot cake..sangat sedap..
 Bahan-bahan:
1 1/4 cup minyak jagung
4 eggs
120 gm castor sugar
120 gm brown sugar
100 gm walnut & almond (dibakar dulu & dicincang)
1/2 cup kismis kuning

1/2 cup chocolate chip
1 1/2 cup carrot (diparut)
250 gm self raising flour (di ayak dulu)
1/4 tsp cinnamon powder
1/4 tsp salt

Topping:
250 gm cream cheese

100 gm butter
100 gm icing sugar
1/4 tsp esen vanilla



Cara-cara:

  1. Pukul telur sehingga kembang. Masukkan minyak, castor sugar dan brown sugar, sebatikan - tak perlu sampai gula hancur.
  2. Masukkan walnut, kismis, carrot (perah sikit kalau berair), chocolate chip, garam, cinnamon powder. 
  3. Pastu, masukkan tepung sikit2. Guna spatula kayu untuk kaup-balikkan adunan.
  4. Masukkan dalam loyang berukuran 9 inch yang telah disapukan butter dan ditaburkan tepung atas butter (sikit jer.).
  5. Bakar selama 45 minit pada suhu 180C. Cucuk kek dengan lidi untuk pastikan dah masak ke belum. Sekiranya dilidi tiada kek yang melekat, tandanya dah masak. Kalau ada melekat kat lidi tu, tandanya belum masak lagi. Bila dah masak, sejukkan di luar oven.

  Cara nak sediakan topping:
 
  1. Masukkan semua bahan dalam blender atau mixer. Blend sebati dan jangan berketul...nanti tak cantik. Kalau guna mixer jadi berketul2, guna je blender.
  2. Bila kek dah sejuk, sapukan atas kek. Sejukkan dalam fridge sebelum dihidangkan.
Resepi carrot cake ni saya ambil dari blog iLuvislam.com. Cuma, saya tambah chocolate chip, almond, dan saya ubah sedikit sukatannya. Ada kelainannya, cubalah! Kalau dah pandai nanti, jangan lupa share pada yang lain. Moga ilmu yang sedikit ini ada manfaatnya..Ameen.

Monday, 29 October 2012

Singgang Daging

Hari ni saya masih lagi bercuti sempena cuti Aidiladha. Hubby dah mula kerja hari ni. So, tinggallah saya dan anakanda sorang ni dirumah. Lunch hari ni saya masak singgang daging sebab daging banyak dalam freezer tu. Daging bawa balik dari kampung semalam. Peti ais pun taklah besar mana...sumbat2 juga dalam freezer tu..hehe. Resepinya sangat mudah. Ikut citarasa saya. Jom semak resepi.

Bahan-bahan:
1/2 kilo daging(dihiris2)
3 biji bawang putih (diketuk2)
1/2 inci halia
2 inci lengkuas
1/2 sudu kecil budu
cili api (tak perlu dipotong...biarkan sebiji2...ikut pedas)
sedikit gula melaka & garam secukup rasa

Cara-cara:
Rebus je semua ni dengan api yang sangat perlahan. Kalau ada pressure cooker lagi senang. Rebus dulu daging sampai lembut, baru masukkan bawang putih dan bahan2 lain.

Senang je kan respinya..ni resepi ikut citarasa saya. Kalau mak yang masak, dia tak letak lengkuas, budu, gula melaka, cili api. Ok, selamat mencuba!

Thursday, 25 October 2012

Strawberry Cheese Tart

strawberry cheese tart in e making..

siap dihias...
fresh from oven..dah masak..
sedap sangaat...
Dah lama nak buat cheese tart ni. Alhamdulillah, petang tadi dapat buat dan cadangnya untuk makan raya. Tapi, tak banyak sangat...dapat 2 bekas je. Nak buat lagi sempat ni...tapi badan dah letih. Satu hari ni kelam kabut membasuh baju je. Baju2 untuk balik kampung belum di kemaskan lagi. Esok pagi2, kami akan beraya dengan opah dulu, pastu terus ke Tanjung Karang. Anakanda sorang ni asyik nangis je tadi sibuk tanya bila nak balik kampung. Sampai dah tak larat nak pujuk....hehe. Dia cakap "mama!!...nak balik kampung acik atol..cepatlah siap!!" . Kesian dia..rindu kat kampung. Memang dah lama tak balik pun. Bila ditanya kat kampung ada siapa? Mulalah dia sebut nama sorang2...atok, nenek, acik atol, acik wardah, iman...hehe.

Resepi Strawberry Cheese Tart
Tart shell:
340 gm butter (Anchor-salted)
100 gm icing sugar
2 biji telur (gred C)
580 gm tepung gandum
2 tsp esen vanilla
acuan tart

Cara-cara:
  1. Dengan menggunakan spatula kayu, pukul butter dan icing sugar sampai sebati. Jangan pukul lama sangat.
  2. Then masukkan telur dan esen vanilla. Pukul lagi dengan menggunakan spatula.
  3. Then, masukkan tepung sikit2. Pukul lagi sampai jadi dough. 
  4. Then, masukkan dough tadi dalam plastik dan simpan dalam fridge semalaman. Kalau nak cepat, simpan setengah jam pun ok.
  5. Then, letakkan dough tadi ke dalam acuan. Tekan elok2, biar tak nipis sangat dan tak tebal sangat. Then, cucuk dengan garpu sebelum dibakar dengan suhu 170'c selama 25 minit atau sehingga masak.
  6. Biarkan sejuk sebelum diletakkan fillingnya.Tart shell ni boleh disimpan didalam chiller/ fridge. Bila2 nak guna, senang dah ada kan...

Cream cheese:
250 gm cream cheese (Philadelphia)
50 gm castor sugar
1 biji telur (gred B)
1/2 tsp esen vanilla / esen lemon

Cara-cara:
  1. Keluarkan cream cheese 30 minit awal sebelum digunakan. Tapi, jangan biarkan cream cheese jadi suhu bilik.
  2. Blend semua bahan. Letakkan telur dibawah sekali. Pastu bahan-bahan lain tu masukkan je semua. Then, blend sampai lumat dan tak berketul. Senang je cara saya..hehe.

Cara nak letakkan filling dan cream cheese:
  1. Pastikan tart shell kita betul2 sejuk.
  2. Letakkan strawberry filling tadi ke dalam piping bag. Letakkan juga cream cheese ke dalam piping bag.
  3. Dalam tart shell kita ni, letakkan filling dulu, baru letakkan cream cheese. Then decorate atasnya dengan pewarna merah.
  4. Bakar dalam oven dengan suhu 170'c selama 5-10 minit. Nak tahu dah masak ke tak...caranya; letakkan hujung jari kita atas cream cheese tu. kalau dah tak melekat, tandanya dah masak.
Ok, cubalah..sedap sangat. Saya ni first time buat. Kena improve lagi pembuatan tart shell saya. Tak kemas nampaknya.

Kalau nak lebih jelas, jom tengok tutorialnya disini. Ada diajarkan cara2 nak decorate tart kita ni. Terima kasih banyak2 atas tunjuk ajar Pn Azlita. Memang sangat jelas. Suka baca blog Pn Azlita... ^ ^

Tuesday, 2 October 2012

Sambal kicap bihun sup sedap

Sambal kicap ni saya belajar daripada kawan sekerja. Memang sedap dan lain dari yang lain. Rasanya cukup dengan pedasnya, manisnya, lemaknya, masinnya. Kalau tak percaya, boleh cuba. Sambal kicap ni sangat sesuai untuk bihun sup ayam, daging dan sebagainya. Saya abadikan resepi ni dalam blog saya sebagai rujukan dikemudian hari. Jom semak resepi.

Bahan-bahan:
Segenggam cili api (dibasuh dan tak perlu dibuang tangkainya)
Sebotol (kecil) Kicap Cap Kipas Udang
4 labu Bawang besar (dihiris)

Cara-caranya:
Goreng bawang yang dihiris sehingga garing. Pastu ketepikan.
Goreng pula cili api dengan minyak yang sama sampai garing sikit. Pastu ketepikan.
Then, masukkan kicap sebotol, bawang dan cili yang telah digoreng tadi ke dalam blender. Blend sampai lumat. Siap! Masukkan sambal kicap kita ni ke dalam bekas dan siap untuk dihidangkan bersama bihun sup kita.

Monday, 4 June 2012

Pudding Roti Karamel

pudding roti karamel

Bila tengok gambar kat atas tu, nampak suram je kan. Gambarnya malap, hidup segan mati tak mau...hehehe.Takpela, yang penting gambar kat atas tu pudding roti caramel yang saya buat petang tadi. Main snap je ikut suka.Terlebih seni..hehe.

Resepi ni saya ambil dari blog Dapurku Sayang. So, kalau nak cuba resepi ni boleh ke sini. Resepinya simple. Senang nak buat sebab bahan-bahannya memang selalu ada kat dapur kita. Cumanya, saya bakar dengan suhu yang kuat sikit. Saya guna suhu 200 C. Pastu, saya guna 4 biji telur (2 biji daripadanya ambil semua putih n merah, 2 biji lagi ambil merah je).

Memang sedap pudding ni. Texturenya pun cantik. Tak berlubang-lubang. Sedap dimakan sejuk. Ok, jom semak resepi olahan saya. Resepi asal dari blog Dapurku Sayang.

Bahan-bahan:
Caramel
1/4 cup gula
2 tbsp air

  • Letak loyang yang kita nak buat pudding ni atas dapur, masukkan gula. Rata-ratakan. Pastu, hidupkan api perlahan. Nampak macam dah nak kuning sikit, kacau-kacau supaya serata kuningnya. Akhirnya jadi warna perang. Cepat-cepat masukkan air panas. Kacau-kacau lagi. Tutup api dan biarkan karamel tadi sejuk dan mengeras. Sementara tu, siapkan bahan pudding pula.
Pudding
3 keping roti Gardenia (buang tepinya. yang tepinya tu, sendiri makan la)
2 biji telur dimbil semuanya
2 biji telur diambil kuningnya sahaja
1 1/2 cup susu cair
1/2 cup air suam
1/2 cup susu pekat
1 tsp esen vanilla
  • Saya blend semua bahan ni. Caranya, dalam blender tu, masukkan telur bawah sekali, roti, barulah yang lain-lain. Semuanya dalam blender. Pastu, blend sampai lumat betul. Pastu bolehlah masukkan bahan ni dalam loyang gula karamel tadi dengan menggunakan penapis. Tuang perlahan-lahan. Nak buangkan buih dia. 
  • Bakar dalam oven dengan suhu 160 C (saya gunakan suhu 200 C) selama 50 minit atau sampai masak. Gunakan kaedah steambake. Letakkan loyang pudding kita di dalam loyang yang lebih besar berisi air panas. Nak tahu dah masak ke belum, bila buka oven tu, pudding kita tak goyang-goyang. Bila dah masak, sejukkan dulu sebelum diterbalikkan. Bolehlah disimpan didalam fridge. Makan sejuk...sedaap sangat.

Saturday, 2 June 2012

Resepi Kari Ayam

Panas betul cuaca hari ni. Basuh kain memang berbaloi-baloi. Cepat je kering kain dijemuran. Kali ni saya update blog di kampung. Balik kampung Tanjung Karang, kampung hubby. Kali ni gatal lak bawa laptop sekali..hehe.

Sunyi je rumah hari ni. Mak dengan abah pergi 'becek' di Banting. Pergi sebuah kereta dengan pak sedara sekali. Adik ipar yang duduk di Seremban pun baru balik tadi. So, tinggallah kami anak beranak di rumah dengan 2 orang adik-adik hubby. Rumah kampung macam ni, bila tengahari memang panas betul. Tak boleh nak bertapa kat dalam rumah. Sesekali kena keluar rumah ambil angin. Tapi, kalau malam memang sejuk sangat. Tak payah ada aircond. Originally, fresh air. Memang best tidur.

Hari ni nak share resepi kari ayam yang sempat saya masak tadi. Saya belajar dari kawan disekolah. Jom semak resepi. Resepi ni saya ikut sukatan saya sendiri. Masa belajar hari tu, tak tanya sukatan lak. So, pandai2 sendiri..ikut selera.

snap dari periuk..
Bahan-bahan:
1 ekor ayam (saya suka buang kulit)
1 1/2 peket rempah kari daging ADABI (bancuh dengan sedikit air)
1 labu bawang besar (hiris)
1 ulas bawang putih (hiris)
2 inci halia (hiris)
1 batang serai (diketuk)
1 tbsp kerisik
1 cube chicken stock
1 asam keping
1 biji kelapa (santan)
sedikit kulit kayu manis, bunga lawang, buah pelaga (3 serangkai)
Garam & gula

Cara-caranya:
  1. Panaskan minyak dalam periuk. Masukkan 3 serangkai, kacau2 sikit. Pastu masukkan bawang2, halia dan serai tadi. Tumis sampai naik bau.
  2. Pastu masukkan rempah kari daging dan tumis sampai garing, pecah minyak. Pastu, barulah masukkan ayam dan sikit air. Masukkan garam sikit, chicken stock dan tutup periuk dengan api perlahan. Biarkan sampai ayam empuk.
  3. Bila ayam dah empuk, masukkan santan, kerisik dan asam keping. Jangan tinggal, mesti selalu kacau dengan api yang perlahan. Kalau tak, tak cantik santannya. Kacau perlahan2 sampai gelegak sikit. Pastu, boleh rasa. Bila dah cukup masinnya, lemaknya, masamnya, manisnya...barulah tutup api. Siap untuk dihidangkan. 
Kali ni saya masak kari tak letak ubi kentang. Nak cepat..hehe. Ok, mesti cuba tau. Kalau dah pandai nanti, share2 pada orang lain. Moga ilmu yang sedikit ini ada manfaatnya. Terima kasih.

kampung Tanjung Karang
cuaca panas memang sedap dapat makan  ice cream


Wednesday, 30 May 2012

Nasi Lemak

Pagi ni saya masakkan nasi lemak untuk anakanda sorang ni. Dia memang suka sangat dengan nasi lemak. Sekali makan tu memang menambah. Saya yang kena stopkan dia makan. Kalau tidak, asyik menganga je mulut dia..hehe. Tapi, anak saya ni makan pun ada mood gak. Kalau noodles, spaghetti, macaroni, nasi lemak, sup-sup...memang suka sangat.

Masak nasi lemak memang senang. Boleh makan dari pagi sampai tengahari. Kira 2 in 1. Tengahari nanti, dah tak payah masak. Kalau nak tambah lauk, goreng je ayam..hehe. Nasi lemak ni, resepi yang saya cuba2 buat dan dah jadi biasa buat dengan cara ni. Jom semak resepi.

Nasi Lemak
Bahan-bahan:
2 cawan beras basmathi (beras ni je ada kat rumah...kami memang guna beras ni)
2 1/2 cawan air + santan sawit (ala..peket hijau tu..dia liquid...suka guna santan ni...senang disimpan) 
halia, bawang merah, daun pandan, biji lada hitam (sikit je)
garam secukup rasa

Cara-caranya:
Semua tu, masukkan dalam rice cooker. Masak macam biasa. Siap! Satu rumah harum baunya nanti.

Sambal
Bahan-bahan:
Bahan A
1 labu bawang besar
1 ulas bawang putih
80 gm cili boh (yang dalam bekas dadih kecil tu)
sedikit belacan

Bahan B
Ikan bilis (goreng dulu separuh masak)
1 asam keping
garam & gula secukup rasa (bubuh gula sampai warna dia tukar merah pekat sikit)

Cara-caranya:
  1. Blend semua bahan A. Sekali dengan cili boh tu. Jangan lupa letak air sikit dalam blender tu sebelum blend. Bila dah siap di blend, biarkan dulu bahan A tadi dalam blender tu. Bagi dia serap & sebati semuanya. Lagi sedap, wangi masa menumis nanti.
  2. Pastu, panaskan kuali (saya gunakan chinese wok), letak minyak masak, masukkan semua bahan A tadi..tumis sampai pecah minyak. Then, masukkan ikan bilis, asam keping, garam & gula. Boleh letak air ikut suka. Minyak menumis tu biar banyak sikit. Nanti senang nak menumis. Sambal pun sedap dan cantik. 
Ok, dah siap! Sedap makan nasi lemak ni dengan  telur rebus/ telur dadar, ikan bilis goreng, kacang tanah goreng, timun dan sambal kita tadi.



Resepi Pudding Custard Fruit Cocktail

pudding custard fruit cocktail...bekas kecil, senang nak makan..

Atas permintaan ramai, saya updatekan resepi pudding kastad fruit cocktail. Resepi ni pun resepi bonda tersayang. Mak olah resepi ni dari resepi asal trifle pudding. So, selalu jugak mak buatkan pudding ni untuk kami sekeluarga. Kalau dah pandai nanti, jangan lupa share pada orang lain tau. Moga ilmu yang sedikit ini ada manfaatnya buat semua..Ameen. Ok, jom semak resepi.

Bahan-bahan:
Bahan A
1 tin susu cair
1 tin creamy sweet corn
2 tbsp sugar
3 tbsp tepung kastad
sedikit pewarna kuning telur

Bahan B
1 tin fruit cocktail

Bahan c
1 packet crystal jelly (saya suka perasa raspberry)

Cara-caranya:
  1. Gunakan chinese wok, masukkan semua bahan A kecuali tepung custard. Pastu, barulah panaskan api. Kacau bahan-bahan tadi tanpa berhenti. Bila dah panas sikit bahan tadi, barulah masukkan tepung custard yang dibancuh dengan sedikit air. Kacau lagi sampai pekat & likat. Then, agak2 dah masak, tutup api dan tuangkan dalam bekas masa tengah panas2. Kalau dah sejuk, nanti keras pulak.
  2. Fruit cocktail ni, toskan dulu sebab tak guna airnya (tapi, jangan buang airnya tu...boleh buat air punch yang sedap & menyegarkan ^__^). Then, letak fruit cocktail tadi atas bahan A. Susun cantik2. Kalau nak gunakan buah peach dalam tin pun sedap jugak.
  3. Bahan C ni perlu dimasak mengikut peraturan dalam kotak dia. Saya gunakan cystal jelly brand Nona. Kat kotaknya ada ditulis macamana nak masak crystal jelly ni. So, ikut betul2 apa yang disuruh. Pastu, lepas masak crystal jelly tu, tuangkan atas layer fruit cocktail tadi perlahan-lahan. Siap! Biarkan sejuk sebelum masukkan dalam fridge. Makan sejuk2 memang sedap.
Ok, kawan-kawan, kalau tak berapa jelas cara-caranya tu, bagitau saya ye..Tinggalkan komen kat bawah ni pun takpe.

Sunday, 11 March 2012

Jelly Kelapa

Resepi ni saya main reka-reka. Ikut apa yang ada dirumah. Saya guna agar-agar biasa je...ala yang peket panjang tu (20 gm). Resepi ni, saya tak tambah air. Nak rasa asli kelapa tu. Tak nak yang macam jual kat kedai tu...hehehe..eksen la pulak. Jom semak resepi. Istimewa untuk kawan-kawan blog Mama! I Love You.

jelly kelapa...emm..segaarrr!!

Bahan-bahan:
6 cawan (1 cawan=250 ml) Air kelapa -biasanya 3 biji kelapa
1/4 Agar-agar (agar-agar yg peket 20gm tu, saya guna 1/4 je)
Gula secukup rasa
Daun pandan

Cara-caranya:
1. Dalam periuk : masakkan agar-agar, air kelapa, gula dan daun pandan sampai hancur agar-agar tu.
2. Pastu, tutup api dan tapis.
3. Tuangkan dalam bekas dan letakkan isi kelapa dalam bekas tu. Sejukkan di dalam suhu bilik dan bolehlah dimasukkan dalam peti ais. Makan masa sejuk2....emmm..sedapnyer.

**Kalau guna serbuk jelly pun sedap. Rasa dia kenyal sikit.

Friday, 2 March 2012

Pudding Roti (sedap & mudah)

Jam dah pukul 12.20 malam. Malam ni, saya sibuk mengemas rumah, basuh kain2 yang ada. Hubby cakap nak balik kampung Tanjung Karang awal2 pagi esok. So, kena bereskan kerja2 rumah dulu supaya senang bila balik dari kampung nanti. Tenang hati..taklah kelam kabut dibuatnya nanti.

Sambil2 membasuh kain ni, saya sempat buat pudding roti. Anakanda dengan papanya dah tidur awal lagi. Lega rasa bila dua beranak tu dah tidur..hehe. Jom semak resepi pudding ni. Sangat senang dan simple. Saya memang suka resepi yang senang2.

ni tak tau corak apa..ingat nak buat khat...x jd..hehehe

Bahan-bahan:
1 peket (23 gm) Agar-agar
 4 keping Roti
1 tin Susu Cair
1/2 tin Susu Pekat
4 cawan Air
2 biji Telur
1 penutup Esen vanilla
Sedikit milo
1 senduk kecil Gula (ikut citarasa)

Cara-cara:
1. Bismillahirrahmanirrahim...Ha! Mestilah mulakan dengan nama Allah. Masak agar-agar dengan air 4 cawan tadi sampai agar-agar tu hancur.
2. Blend roti, susu cair, susu pekat, telur, gula, esen vanilla. Blend sampai betul-betul lumat. Roti tu, jangan buang tepinya. Sayang tau. Nanti sapa lak nak makan tepinya tu. Takpe, blend je semua sekali.
3. Masukkan dalam agar-agar. Perlahankan api.
4. Kacau sampai gelegak sikit. Tutup api.
5. Pastu bolehlah diwarnakan pudding kita ikut kreativiti. Kalau nak warna coklat, campur milo sikit. Saya buat 2 warna je...warna asal dengan warna merah.
6. Agak2 pudding kita tu dah sejuk...masukkannya ke dalam peti ais. Emmm...sedap sangat. Cubalah!...Anak2 pasti suka. Bak kata anakanda saya.."Shedapnya mama mashaaak". Hehe...kelakar lak. Dia tu, nasi dengan telur pun cakap sedap gak. Pandai amik hati mamanya. Hehehe...

*Ok, kalau tak faham tanya tau. Tinggalkan komen anda dibawah. Nanti saya jawabkan.

Tuesday, 28 February 2012

Ayam goreng anak soleh

Ayam goreng ni saya masak ikut sesedap saya. Resepi tak tentu...ikut kreativiti. Yang penting kena berani mencuba. So, balik sekolah tadi saya gorengkan ayam untuk Muhammad. Ayam ni, saya beli kat pasar seksyen 6, Shah Alam. Suka beli kat situ sebab yakin halalnya dan ayamnya segar2. Pulak tu, memang saya kenal tokey ayam tu. Suami kepada sahabat se-usrah saya. Dia sembelih ayam tu sendiri. Saya memang dah lama tak beli ayam kat mana2 supermarket atau kedai2 runcit.

Resepi kali ni, memang resepi favourite saya sebab rasa dia tak heavy dengan rempah. Sesuai untuk selera budak2. Jom semak resepi.


Bahan-bahan:
1/2 ekor ayam (buang kulit)
1 inci halia
1/2 labu bawang besar
1 ulas bawang putih
garam
serbuk lada sulah
1 biji telur
tepung beras & tepung gandum

Cara-cara:
1. Blend halia, bawang besar, bawang putih sampai lumat
2. Perapkan ayam dengan bahan2 yang dah di blend tadi, garam & serbuk lada sulah lebih kurang 1/2 jam. Kadang2 tu, kalau nak cepat, perap 5 minit pun ok.
3. Pastu, pecahkan sebiji telur dalam ayam tadi, gaul2 dan biarkan. Sambil2 tu, panaskan minyak dalam periuk. Minyak mesti banyak..agak2 tenggelam ayam kita nanti.
4. Letakkan campuran tepung beras & tepung gandum dalam bekas. Golek2kan ayam tu atas tepung dan goreng dengan api perlahan supaya isinya elok masaknya.

*Ada macam2 kaedah nak salutkan ayam dengan tepung. Teknik ni penting untuk keragupannya. Nanti saya cerita kemudian. Nak serve dinner jap...hubby baru balik kerja.

Ok, kawan2, selamat mencuba.

Saturday, 25 February 2012

Sup Ayam Muhammad

Budak2 memang suka makan sup. Kalau nasi tu berkuah atau ada sup, lajulah diaorang makan. Bertambah2 jadinya. Samalah dengan anakanda sorang ni. Kalau boleh hari2 dia nak makan nasi dengan sup. Dia selalu minta "mama! Muhammad nak nasyik ngan shup". Tapi, seminggu dua ni, lain sikit bahasa dia.."mama, syaya nak nasyik"..Hehe, kelakar lak. Ada tambahan "saya". Semua benda mesti ada "saya". "Syaya nak kencing"..Syaya nak syusyu"..Syaya nak air shedap"...Hehehe..apa2 ajelah anak mama ni. Agaknya, kat sekolah cikgunya ajar camtu. Dah pandai guna pronouns dalam ayat.

Jom semak resepi sup ayam mudah ni. Senang disediakan....rebus je.

sup ayam anak soleh mama

Sup Ayam Muhammad
Bahan-bahan:
1/2 ekor Ayam (buang kulit)
1 Sup bunjut Adabi
3 ulas Bawang besar (sederhana besar)..hiris
1 ulas Bawang putih..hiris
2 inci halia (hiris)...lebih sikit pun ok.
garam secukup rasa 
1 biji ubi kentang (belah 4)
Carrot, Kobis, Batang saderi
Daun sup

Cara-cara:
1. Masukkan ayam dalam periuk beserta air secukupnya, bawang besar, bawang putih, halia dan sup bunjut...sambil2 tu, bacakan selawat.
2. Pastu rebus je sampai naik minyak...pastu letak garam & rebus lagi.
3. Bila ayam nampak macam nak masak, masukkan kentang, carrot...rebus lagi sampai ayam betul2 lembut (Muhd suka ayam yang betul2 lembut..sampai terkeluar dari tulang)
4. Last sekali, masukkan kobis...kacau2...tutup api...dan masukkan daun sup yang dipatah2kan (nak hiris pun boleh)...SIAP.

*Saya masukkan sayur sekali sebab nak senang...dah tak payah masak sayur. Kira 2 in 1..jimat masa dan mudah.
*Saya tak gunakan chicken stock..rebus naturally dengan api yang perlahan. Nak sedap lagi, letak serbuk lada sulah. Makanan sihat untuk anak-anak.

Muhammad kalau sup dia ni dah siap masak..dia akan sibuk cari pinggan nak kita letakkan nasi dia. Pastu sibuklah dia duduk depan nasi dia & baca doa makan. Alhamdulillah, dia dah pandai baca doa makan dengan terjemahannya sekali (english version...hehehe..cikgu taska yang ajar translation tu).

Wednesday, 22 February 2012

Donut sedap..

Malam ni, lepas solat maghrib, tak sabar nak cuba resepi baru..donut sedap. Kali ni, resepinya sangat mudah dan simple. Saya ambil dari blog Kak Ina . Siap ada tutorial cara buat donat ni. Memang banyak membantu. Tak perlu gunakan acuan donut. Buat bulat2, leperkan pastu tekapkan nozzle ditengah2nya. Kalau tak percaya, visit la blog akak ni. Akak ni memang businesswoman kuih-muih. Teruja tengok kuih2nya.

Saya sebenarnya tercari2 apakah makanan yang sesuai dijual disekolah, diwaktu balik. So, saya pun google resepi2 dalam internet yang mudah dan ringkas. Dalam seminggu tu, maybe boleh dipelbagaikan juadahnya. Isnin jual donut, selasa jual cupcake, rabu jual donut lagi...hehe..khamis cupcake lak..hehehe. Tak terlarat budak2 nanti..

proses mengembang..

dah siap goreng..

gebu..sedap!!
Ada banyak lagi donut yang saya goreng setengah masak tadi. Saya jadikan frozen. Plan nak decorate dengan coklat, jem, custard, etc. Hubby dengan anak pun suka makan. Makan tengah panas2, memang sedap!! Bak kata Muhammad.."shedapnyer mama mashak".


Resepi Donat Versi Zalin

500gm tepung gandum 
50gm gula pasir
50gm margerin
1 biji telur
1 1/2 sudu kecik yis kering (saya pakai mauripan..)
1 sudu kecik garam halus
1 sudu kecik baking powder
2 sudu kecik tepung susu (susu tepung anak umur 1 tahun pun ok...jgn susu Anlene)
250ml air suam (jangan panas sangat nanti yis mati..)

Cara-caranya:-

1.Bancuh air suam dengan gula...larutkan...pastu letak yis..biar sekejap (berbuih2)
2.Masukkan semua bahan dalam mixer...atau dalam bekas untuk yang nak uli pakai tangan
3.Kalau guna mixer uli 5 minit kelajuan sederhana..
4.Kalau guna tangan, lama sikit ye...sampai adunan tak melekat kat tangan
5.Tutup adunan...biar kembang selama 1 jam atau lebih...paling lama pun 3-4 jam...lama sangat nanti bau tapai pulak..
6.Adunan dah kembang baru la boleh dibulat-bulat macam kat tutorial tadi...

* Tabur sikit tepung kat dulang...kalau tak nanti melekat pulak donat tu dan susah nak angkat masa nak goreng nanti..
* Kalau adunan tu terlalu melekit (mungkin terlebih air atau telur besar sikit), renjis2 tepung sikit...kat tangan pun letak tepung...macam dalam gambar kat tutorial..donat tu ada tepung sikit2...banyak2 nanti keras pulak...
* Kalau dah goreng donat pastu rasa2 nak simpan lama, susun donat dalam bekas, lepastu bungkus pakai plastik wrap...jangan bagi masuk angin langsung...insyaAllah tahan lama lembutnya tu...

Friday, 11 November 2011

Apam Mekar

rendang ayam
Raya Aidiladha yang lepas, kami sekeluarga beraya dirumah je. Anak soleh mama tak sihat. Chicken pox dia tak sembuh lagi. So, bertapalah kami bertiga dirumah...hehe. Malam raya tu, saya sempat masak rendang ayam dengan ketupat nasi. Juadah raya kami hari tu.. rendang, ketupat, biskut2 raya (tempah dari atuk ri)..simple je. Nak buat cake, tak sempat. Bahan2 pun tak sempat beli.

Raya kedua tu, saya buat apam mekar. Ambil resepi daripada website my resepi. Jom semak resepi.
apam mekar
Bahan-bahan:
250 gm gula
2 biji telur
200 ml susu segar
300 gm tepung gandum
1 sudu kecil ovallete
1 sudu kecil esen vanilla
pewarna (ikut suka)
paper cup

Cara-cara:
1. Panaskan periuk kukus. Bungkus penutupnya dengan kain untuk mengelak air dari jatuh ke atas bahan kukusan.
2.Pukul telur dengan gula sampai kembang.
3.Masukkan esen vanilla dan pukul lagi.
4.Masukkan ovallete dan pukul lagi.
5.Masukkan susu segar dengan tepung berselang seli.
6.Bahagikan adunan kepada 2 warna (ikut suka). Then, letakkan dalam piping bag dan letakkan dalam paper cup. Kukus selama 10-15 minit (ataupun sampai masak...bergantung kepada size paper cup).

ops lupa!..satu lagi, api mesti besar supaya apam tu mekar. Kalau tak..dia tak jadi.

Tuesday, 1 November 2011

Buttercake versi 1.11.11


gebu & sedap
buttercake pada tarikh 1.11.11

Dah seminggu cuaca muram je..hujan petang2. Sesekali sedap gak dapat makan putu bamboo ke, putu piring ke..huh..sedap. Hari ni, kepala ni berat je. Hubby cakap, saya ni angin. Entahla...Maybe, banyak kerja di sekolah..banyak memikir..

Apa lagi, hari ni mula la nak buat cake. Buat cake ni, enjoy..seronok rasa. Seronok tengok cake dalam oven mengembang, naik tinggi. Seronok bila tengok hubby & anakanda excited kita buat cake. Seronok bila semerbak bau cake dalam rumah. Woww!..ada kepuasan yang susah nak cakap camne..hehehe..skima je.

Ok, jom semak resepi ni. Ni resepi mak tercinta. Kek ni mak selalu buat masa kitaorang kecik2 dulu. Mesti cuba tau!

Bahan-bahan:
3 cup self raising flour (ayak dulu 2 kali)
2 cup castor sugar (saya guna 1 cup je)
1 tsp salt
2 tbsp milk powder
1 cup butter
1/2 cup water
5 eggs AA size (kalau takde size AA, guna 6 biji)-asingkan telur merah & telur putih

Cara-cara:
Bowl 1: Bismillahirahmanirrahim..Pukul butter dengan sugar sampai warna putih. Then, masukkan telur merah, pukul lagi. Masukkan salt, milk powder, salt..pukul lagi. Last sekali, masukkan tepung sikit2..pukul slow2.

Bowl 2: Pukul telur putih sampai betul2 kembang...saya guna speed 4-5 (kendwood mixer). Letak gula sikit..dalam 1 sudu ke..nak cepatkan telur tu kembang. Bila diterbalikkan bowl, bancuhan tu tak jatuh.

Campurkan bancuhan dari bowl 1 ke bowl 2..guna spatula kayu. Kacau perlahan2 sampai sebati. Pastu, masukkan dalam loyang 9" ataupun dalam cupcakes liner. Bakar selama 45min - 1 jam dengan suhu 180'c.

Saturday, 29 October 2011

Kek Coklat Kukus

kek coklat kukus..siap!
tak sempat2...xpakai baju lak tu..hehe
Dah lama anakanda sibuk nak makan kek..So, pagi tadi,sempatlah buatkan kek untuk dia. Punyalah makan sampai 2 cup (saiz XL). Jom semak resepi...senang sangat. Guna blender je..senang nak kemas...hehe. Ambil dari blog macam2..ubah sikit2...

Bahan-bahan:
Bahan A:
1 cawan susu cair
1 cawan susu pekat
1 cawan coco powder
1 cawan gula
1 cawan butter yang dicairkan / minyak jagung

Bahan B:
4 biji telur
1 cawan tepung naik sendiri


Caranya:
Masak atas dapur: Masuk semua bahan A, masakkan atas dapur dengan api yang perlahan. Kacau je sampai sebati. Dah sebati, tutup api. Jangan lama2, nanti coklat hangit...tak sedap. Then, tapiskan.

Guna blender: Blend bahan B. Pastu masukkan dalam bahan A (tak perlu tunggu bahan A sejuk dulu). Pastu, letak dalam loyang. Kukus sampai masak. Kalau letak dalam loyang, anggaran masak, 45 minit. Kalau letak dalam cupcakes..10-15 minit dah masak. Senang kan...cubalah.